Tuesday, January 24, 2012

DENG XIAOPING VS MAO ZEDONG

DENG XIAOPING VS MAO ZEDONG
Oleh:Muhammad Danial Ramli
Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sejarah
Deng Xiaoping/Teng Hsiao-p’ing merupakan watak yang agak asing bagi orang-orang kebanyakan mahupun golongan intelektual masa kini, melainkan bagi pengkaji sejarah dan ekonomi China yang sudah sedia maklum akan watak tersebut. Namun begitu, bagi Mao Zedong/Mao Tse-tung, wataknya sememangnya sudah dikenali oleh kebanyakan orang. Bagi mengupas persoalan pertentangan falsafah yang wujud antara Deng Xiaoping dengan Mao Zedong, maka adalah perlu untuk kita mengetahui dengan jelas apakah falasfah yang menjadi pegangan antara kedua-duanya. Apakah falsafah yang dipegang oleh Mao Zedong yang menyebabkan wujudnya penentangan oleh tokoh kemudiannya? Adakah Deng Xiaoping menentang 100% falsafah pegangan Mao Zedong? Bagi melihat pertentangan yang wujud, maka amat wajar di sini penulis untuk memperihalkan mengenai falsafah yang di pegang oleh Mao Zedong dan kemudiannya akan diikuti dengan falsafah yang didokong oleh Deng Xiaoping.

MAO ZEDONG
Mao Zedong dilahirkan di Shaoshan, Hunan, pada 26 Disember 1893 dan meninggal di Beijing, pada 9 September 1976. Pada tahun 1911, Mao terlibat dalam Revolusi Xinhai yang merupakan revolusi melawan Dinasti Qing yang mengakibatkan runtuhnya pemerintahan beraja China yang sudah berkuasa lebih 2000 tahun sejak tahun 221 SM. Pada tahun 1912, Republik China diumumkan oleh Sun Yat-sen dan China dengan rasminya telah memasuk zaman republik. Mao lalu melanjutkan pendidikannya dan mempelajari banyak bidang antara lainnya adalah dalam bidang budaya barat. Pada tahun 1918 dia telah lulus dan kemudiannya menyambung kuliah di Universiti Beijing. Di sanalah dia berjumpa dengan para pendiri Parti Komunis China (PKC) yang berhaluan Marxis.
          Parti Mao iaitu Parti Komunis China telah  diperanakkan  pada tahun 1921 dan Mao semakin hari semakin lantang bersuara. Antara tahun 19341935 dia memegang peranan utama dan memimpin Pengawal Merah/ Red Guards menjalani “The Long March”. Bermula sejak tahun 1937 ia ikut menolong memerangi Tentera Jepun yang menduduki banyak wilayah China. Akhirnya Perang Dunia II berakhir dan perang saudara tercetus lagi. Dalam perang yang melawan kaum nasionalis ini, Mao menjadi pemimpin Tentera/Pengawal Merah dan akhirnya dia mencapai kemenangan pada tahun 1949. Pada tanggal 1 Oktober tahun 1949, Republik Rakyat China diisytiharkan dan pemimpin nasionalis China, Chiang Kai Shek telah melarikan diri ke Taiwan.
          Dalam PKC, Mao sendiri sejak tahun 1943,  merupakan ketua sekretariat parti dan Politbiro tetapi sebenarnya secara tidak langsung dia mengawal keseluruhan parti sehinggalah dia meninggal pada tahun 1976. Kepemimpinannya mungkinlah tidak sekejam seperti Stalin tetapi ketegasan pemikiran serta tindakan yang berasaskan pandangan dirinya  sendiri menyebabkan rakyat China terjerumus ke dalam kehancuran dan kesengsaraan yang luar biasa.
          Mao telah mengisytiharkan Lompatan Agung ke Hadapan/ The Great Leap Forward pada tahun 1958 menandakan bermulanya perjalanan perkembangan falsafah pembangunan oleh Mao Zedong. Teras utama yang menunjangi falsafah Mao ini adalah yang pertamanya melalui dasar pengkolektifan pertanian, di samping membuat anjakan pantas terhadap pengeluaran hasil pertanian. Teras yang keduanya adalah bagi mengatasi hasil keluaran Britain.  Menurut Alan Lawrance;
          “ I am complete outsider when it comes to economic construction. I     understand nothing about industrial planning...comrades, in 1058 and   1959 the main responsibility was mine.”  Mao semasa Persidangan Lushan         pada bulan Ogos 1959.
          Lompatan Agung Ke Hadapan 1958-59 merupakan sebahagian daripada tindakbalas kepada kegagalan pengamalan ekonomi bermodelkan Soviet di  China. Mao telah mencadangkan langkah bagi mengatasi situasi kegusaran ekonomi yang timbul dengan memobilasikan sumber-sumber manusia, menggabungkan inisiatif tempatan dengan semangat mengorbangkan kepentingan diri sendiri dalam struktur masyarakat baharu. Alan Lawrance berpendapat lagi;
“The new economic collectives were at first oranised the village or team level but local independence was soon subsumed within the larger communes. The whole population was mobilised to develop not only agriculture and new local industrial enterprises but also(where and as appropriate) to take part an large tasks such as water conservation and land reclamation.
          Mao memperkasai gerakan “Lompatan Agung ke Hadapan” pada 1958 untuk memberi warna khusus bagi komunisme China. Berbeza dengan Soviet yang menumpukan kepada industri berat, Mao di China menggalakkan pertanian yang ditunjang industri kecil di pendesaan melalui sistem commune. “Kalau Stalin hanya punya satu kaki, industri berat, kita punya dua kaki, yakni pertanian dan industri kecil,” ucap Mao. Mao memperkenalkan aneka slogan. Para petani harus “menggali lebih dalam” untuk meningkatkan hasil. Ladang-ladang harus bebas dari “empat makhluk jahat”; burung, tikus, serangga, dan lalat. Maka sepanjang 1958 - 1960 jutaan serangga, tikus, lalat, dan burung dibantai.
          Para petani yang “menggali lebih dalam” belum sempat memetik hasil ketika mereka jatuh kelelahan. Matinya burung memberi dampak pada terganggunya keseimbangan alam, sehingga kemudiannya burung dikeluarkan dari daftar “empat makhluk jahat”. Pembentukan sistem commune pada awalnya kelihatannya bakal menampakkan impak penghasilan produktiviti yang menggalakkan seperti yang dicatatkan kepada peningkatan peratusan penghasilan pengeluaran besi sebanyak 19%, elektrisiti sebanyak 18% dan pengeluaran batu arang sebanyak 17%. Namun, yang menjadi masalahnya, perangkaan hasil produktiviti ini telah di tambah segala macam perisa terhadap data dan foto, walhal pada kenyataannya para petani menderita. Sepanjang 1958 - 1961 tidak kurang daripada 30 juta orang meninggal kerana kelaparan.
          Seterusnya, selepas mengalami kegagalan terhadap pemeraktikan falsafahnya dalam Lompatan Agung ke Hadapan, Mao telah memperkenalkan amalan pemeraktifan yang keduanya, dinamai Revolusi Kebudayaan. Revolusi Kebudayaan ini dirasmikan oleh Mao Zedong pada 16 Mei 1966, sebagai satu bentuk kempen untuk membebaskan China daripada unsur-unsur "bourgeoisie bebas" serta meneruskan perjuangan kelas. Walau bagaimanapun, Revolusi Kebudayaan juga disifatkan orang ramai sebagai satu cara untuk mengawal semula parti setelah Lompatan Agung ke Hadapan yang menemui kegagalan besar mengakibatkan Mao banyak kehilangan kuasa beliau kepada pesaing-pesaingnya terutamanya Liu Shaoqi dan Deng Xiaoping.
          Dari tahun 1966 hingga 1968, sayap belia utama Mao yang bergelar Pengawal Merah berfungsi untuk menggulingkan sesiapa yang dilihat oleh Mao sebagai musuh dan mengambil alih kawalan terhadap pentadbiran negeri dan parti, menggantikan Jawatankuasa Pusat dengan Jawatankuasa Revolusi Kebudayaan, dan kerajaan-kerajaan setempat pula diganti oleh jawatankuasa revolusi. Di tengah-tengah huru-hara dan keganasan yang tidak putus-putus, kebanyakan pelopor revolusi, pengarang, artis, dan tokoh keagamaan diusir dan dibunuh, berjuta-juta orang didakwa, dan sebanyak setengah juta orang terkorban samaada secara sengaja atau tidak sengaja dilakukan oleh tentera Mao.
          Revolusi Kebudayaan masih menjadi isu yang sensitif di dalam Republik Rakyat China. Meskipun sedikit sahaja penapisan terhadap huraian peristiwa-peristiwa Revolusi Kebudayaan, pandangan sejarah yang bertentangan dengan versi ang digariskan dalam Resolusi 1981 sering ditapis (termasuk pendapat bahawa Revolusi Kebudayaan adalah perkara yang baik atau bahawa Mao lebih atau kurang bersalah daripada apa yang ditunjukkan sejarah rasmi).
          Sejak 1966 China melaungkan gerakan antikapitalisme. Pengawal Merah menyerang para doktor, seniman, novelis, dan mereka yang dianggap tidak mewakili kaum proletariat/petani. Frances Wood, mahasiswi Inggeris yang belajar di Institut Bahasa Asing dan Universiti Beijing tahun 1975 - 1976, turut sama menyaksikan “The Great Proletarian Cultural Revolution”, yang pada masa yang sama Mao Zedong diteriakkan dengan penuh semangat, kemudiannya dianggap sebagai “Tahun-tahun Penuh Bencana”. Menurut pelajar tersebut yang juga merupakan saksi mata kepada Revolusi Kebudayaan China, “Ketika saya belajar sastera Cina di Universiti Cambridge, 1968 - 1971, China sedang berada di puncak Revolusi Kebudayaan. Dunia luar tak banyak tahu apa yang sebenarnya terjadi, kecuali laporan media massa Eropah tentang mayat-mayat yang hanyut di Pearl River, dekat Hongkong dan Macau”.
          Mao mengerahkan ribuan pelajar dan mahasiswa ke Lapangan Tiananmen di pusat Kota Beijing. Mereka membawa buku kecil warna merah, The Little Red Book, berisi kutipan naskah-naskah pidato Mao. Kemudiannya gerakan tersebut diperluaskan dikalangan pekerja, buruh, dan petani. Mereka mengecam sesiapa pun yang menjawat kerusi pemimpin. Korban makin bertambah, baik kerana hukuman maupun bunuh diri. Nyawa kelihatannya bagai tidak memberi sebarang erti lagi kerana begitu mudah untuk kehilangannya. Revolusi Kebudayaan turut menyaksikan penyertaan isteri Mao, Jiang Qing, menyingkirkan para pesaingnya dalam arena kesenian. Opera, filem, dan panggung teater didominasi produksi Jiang Qing. Lukisan bunga dan alam tak boleh dipasang, diganti gambar bendera merah, traktor di ladang, atau gambar Mao dalam ekspresi heroik.
          Bermula tahun 1971 keadaan menjadi normal dalam versi Mao. Sekolah dan universiti dibuka kembali dengan syarat hanya buruh dan petani sahaja yang boleh belajar. Mahasiswa asing dan pelancong boleh datang, namun hanya terhad dalam wilayah terbatas. Menurut Frances Wood, mahasiswi Inggeris yang belajar di Institut Bahasa Asing dan Universiti Beijing tahun 1975 – 1976, “Dua minggu setelah saya pulang, tepat pada tanggal 9 September 1976, Mao Zedong telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Saya pergi ke Kedubes Cina di Portland Place, London, dan menuliskan nama saya dalam buku belasungkawa. Seandainya masih di China, saya pasti ikut perkabungan nasional dengan segala upacaranya”. Dengan kematian Mao tersebut, maka berakhirlah Revolusi Kebudayaan yang menjadi medan pengeksperimental aliran falsafahnya kepada rakyat China.

DENG XIAOPING
Deng Xiaoping/Teng Hsiao-p'ing lahir pada 22 Ogos 1904 dan meninggal pada 19 Februari, 1997 ialah salah seorang pemimpin dalam Parti Komunis China. Deng tidak pernah menjawat ketua negara atau ketua kerajaan, tetapi berkhidmat sebagai pemimpin de facto Republik Rakyat China dari akhir dekad 1970 hingga awal dekad 1990. Beliau mempelopori "Sosialisme dengan ciri-ciri Cina" dan pembaharuan ekonomi Cina yang juga dikenali sebagai "ekonomi pasaran sosialis".
          Pada musim panas tahun 1920, Deng Xiaoping tamat sekolah di Sekolah Persediaan Chongqing. Bersama-sama 80 orang rakan sekolah yang menyertai program kajian kerja untuk pelajar-pelajar Cina, beliau menaiki kapal ke Perancis dan tiba di Marseilles pada bulan Oktober. Deng merupakan pelajar yang paling muda antara rakan-rakan sekolahnya dan baru sahaja mencapai umur 16 tahun. Beliau menghabiskan kebanyakan masanya di Perancis untuk bekerja, mula-mulanya di kilang besi dan keluli Le Creusot di Perancis Tengah, dan kemudiannya berturut-turut bekerja sebagai pemasang di kilang Renault di subbandar Paris di Billancourt, ahli bomba di dalam lokomotif dan pembantu dapur di restoran-restoran. Walaupun demikian, beliau tidak mendapat gaji yang mencukupi untuk menyara diri. Di samping itu, Deng juga menyertai sekolah-sekolah menengah di Bayeux dan Chatillon. Di bawah pengaruh pelajar-pelajar yang lebih tua (Zhao Shiyan, dan Zhou Enlai) di Perancis, Deng mula belajar mengenai Marxisme dan menjalankan kerja propaganda politik. Pada tahun 1922, beliau menyertai Liga Belia Komunis Cina di Eropah dan pada akhir tahun 1924, menyertai Parti Komunis China serta menjadi salah seorang ahli yang utama dalam Cawangan Am Liga Belia di Eropah.
          Pada tahun 1929, Deng mengetuai Pemberontakan Baise di kawasan Guangxi terhadap kerajaan Kuomitang (KMT}. Pemberontakan itu gagal dan tidak lama kemudian Deng melarikan diri ke kawasan Soveit Pusat di kawasan Jiangxi. Deng adalah bekas perajurit Perjalanan Jauh/Long March yang berkhidmat sebagai Setiausaha Am Jawatankuasa Pusat Parti Komunis ketika itu. Pada akhir bulan November 1949, Deng mengetuai serangan yang terakhir terhadap angkatan tentera KMT yang diketuai secara langsung oleh Chiang Kai-shek di tempat asal Deng di Sichuan. Kota Chongqing jatuh kepada Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) pada 1 Disember, dan Deng dilantik dengan segera sebagai Datuk Bandar dan pesuruhjaya politik. Manakala Chiang Kai-Shek yang telah memindahkan ibu sawatnya ke Chongqing pada pertengahan bulan November melarikan diri ke ibu kota kawasan Chengdu. Kota China tanah besar yang terakhir ini yang dipegang oleh KMT jatuh pada 10 Disember dan Chiang Kai-Shek melarikan diri ke Taiwan pada hari yang sama. Apabila Republik Rakyat China diasaskan pada tahun 1949, Deng dihantar untuk menangani masalah-masalah di kawasan barat daya dan bertindak sebagai Setiausaha pertamanya. Beliau memainkan peranan yang utama dalam perundingan-perundingan dengan para pemimpin Tibet dan memastikan sokongan terhadap pengilhakan Tibet yang  berlangsung kemudiannya.
          Deng membentuk teras ‘generasi kedua’ pimpinan PKC. Di bawah asuhannya, China berkembang sebagai salah satu ekonomi yang bertumbuh dengan paling pesat di dunia sementara mengawal Parti Komunis China dengan ketat. Secara perlahan-lahan Deng Xiaoping naik menuju kekuasaan selepas kematian Mao Zedong. Pemikirannya yang dahulunya tidak diakui dan dikecam hebat kini diambilberat. Yang amat terasa adalah suasana kampus kerana tidak ada lagi “sekolah terbuka” di daerah pertanian. Sudah tidak ada lagi mahasiswa dengan kategori tiga pola politik; pekerja-petani-tentara.. Mahasiswa tak perlu lagi ikut mengikat sayuran, dan kawasan penanaman padi tidak harus ke utara Sungai Yangtze agar tidak menentang alam.
          Deng Xiaoping telah menyuarakan penentangan yang nyata kepada prinsip anti-kapitalis yang dilaungkan oleh Mao Zedong apabila membuat seruan, “Menjadi kaya itu mulia,” mengubah wajah Cina secara dramatis. Pakaian dan tata rambut warga berubah. Deng juga melaungkan prinsip ideologi “kepapaan bukan sosialisme” yang jelas menentang konsep penyamarataan taraf oleh Mao. Melalui ideologi yang dilaung-laungkan ini, Deng telah memperkenalkan teras yang menyokong kepada empat cabang pembangunan iaitu pembangunan pertanian, industri, pertahanan dalam negara dan pembangunan teknologi. Memanglah hasrat akhir Deng juga adalah membentuk sebuah negara China yang sosialis, tetapi dia merasakan pendekatan yang  lebih radikal perlu diambil bagi mempercepatkan pembentukan negara tersebut.

Falsafah pembangunan Deng Xiaoping ini dijelmakan dalam bentuk Sosialisme Chinasentrik antara tahun 1981-1989. Deng merupakan tulang belakang kepada kejayaan menakjubkan yang dialami China pada tahun 1980-an. Deng digambarkan sebagai penyokong revolusi modenisasi yang berkait erat dengan perkembangan sistem ekonomi yang membentuk peningkatan taraf kehidupan rakyat. Pada masa inilah, “kepapaan bukan sosialisme” dilaung-laungkan pada 1987. Deng telah turut terlibat dalam Suruhanjaya Ketenteraan tetapi bukan memegang jawatan tertinggi.
          Merujuk kepada apa yang dilakukan oleh Deng Xiaoping dalam Sosialisme Chinasentrik ini, maka amat elok untuk nerujuk kepada bidang ekonomi yang menjadi tumpuan iaitu perindustrian. Kawalan oleh kerajaan tidak dapat untuk diabaikan kerana dimanmana pun di dalam negara ia adalah mudah untuk menggunakan sumber tempatan bagi kepentingan kepada pusat. Perkembangan industri bermula pada tahun 1979, namun dicuba di luar kawasan iaitu di Sichuan (tempat asal Deng Xiaoping). Kilang-kilang telah bersetuju menghasilkan produk-produk yang berpatutan harganya dan dapat dijual dipasaran terbuka. Pihak pengurusan mengalami sedikit masalah terhadap pembahagian hasil keuntungan sama ada untuk dilaburkan kembali atau digunakan untuk kebajikan pekerja.
          Di bandar-bandar kecil, perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana kelihatannya lebih profit. Perangkaan menunjukkan terdapat 100,000 perniagaan persendirian berasaskan keluarga didaftarkan pada tahun 1978, meningkat kepada 6 juta pada 1983 dan menjadi 17 juta pada 1985. adalah tidak mudah kepada bagi China memodenkan secara efektif dengan hanyamenggunakan sumber tempatan/dalaman sahaja. Pada 1959, hanya dagangan luar China berjumlah $4.4 bilion meningkat hanya kepada $4.6 bilion pada 1970. Namun, selepas kunjungan oleh Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon, dagangan luar tersebut telah meningkat mendadak kepada $15 bilion pertengahan 1970-an dan menjadi $38 bilion pada 1980.
          Deng Xiaoping turut memperkenalkan sistem ‘Zon Ekonomi Istimewa’ sebagai menjayakan lagi falsasfah yang dipegangnya itu. Salah satu daripada pendekatan untuk menarik modal luar adalah dengan membawa masuk teknologi terkini telah membentuk zon istimewa yang terpisah daripada keseluruhan negara  iaitu kawasan kelautan china bertempat di Shenzhen, Zhuhai, Shantou, dan Xiamen. Dengan penambahbaikkan peasarana (jalan raya, sumber tenaga, kemudahan pelabuhan) telah menyediakan kepada kerajaan peningkatan yang signifikan, perusahaan luar telah teransang untuk mengaut keuntungan ekoran kos buruh yang murah. Pemerhati Amerika merujuk kepada perubahan yang dibawa oleh Deng Xiaoping di China suka untuk memetik ungkapan popular Deng Xiaoping, “Adalah tidak penting sama ada kucing itu hitam atau putih, tidak menjadi masalah sama ada kucing tersebut dapat menangkap tikus. Yang menjadi peripentingnya adalah kucing itu tidak tertangkap.”
          Secara langsungnya, penerapan falsafah Deng Xiaoping ini terjelma dalam dasarnya, Sosialisme Chinasentrik yang menggunakan pendekatan; menjadi kaya adalah kebanggaan/kejayaan, kepapaan bukan sosialisme, setiap rakyat yang rajin berusaha harus mempunyai bahagian/harta mereka sendiri. Deng Xiaoping turut menyeru bahaawa setiap individu perlu mengumpul kekayaan seramai yang mungkin bilangannya.

KESIMPULAN
Mao Zedong dan Deng Xiaoping adalah dua tokoh popular komunis China dan akan termaktub dalam lipatan sejarah China sampai bilai-bila. Kedua-duanya membawa ideologi yang sama iaitu masyarakat sosialis dalam negara komunis. Namun, wujudnya pertentangan dalam pengimplementasian falsafah mereka dalam membangunkan China. Mao Zedong lebih kepada penekanan penyamarataan yang tegas tanpa sebarang ketirisan walaupun terdapat juga amalan kronisme dan kapitalis tidak nyata. Oleh itu terjelmalah Lompatan Agung ke Hadapan dan Revolusi Kebudayaan yang impak pelaksanaannya dipertikaikan kemudiannya. Pengdokumentasian keberhasilan kedua-dua dasar tersebut banyak diselimuti dengan falasi perangkaan yang menonjol. Dengan itu. Deng Xiaoping muncul dengan ideanya, Sosialisme Chinasentrik yang telah mewujudkan anjakan paradigma kepada dasar ekonomi China melalui pengenalan dasar buka pintu kepada dunia luar. Sistem ekonomi semacam kapitalis yang pragmatik ini telah membawa kepada kejayaan China masa kini yang bakal menjadi ‘economic super power’ dunia.



No comments:

Post a Comment