MENELUSURI RIWAYAT HIDUP
HAJJAH ZAINAB BINTI TAIB:
MENGABDIKAN DIRI MENGAJAR AL-QURAN SELAMA 60 TAHUN.
Oleh: Muhammad Danial Bin Ramli
Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sejarah, UPSI.
Perkahwinan Taib dengan Halijah sekitar 1910 telah dikurniakan oleh-Nya (Tuhan) empat orang cahaya mata, dua lelaki dan dua perempuan. Pasangan ini telah menamakan cahaya mata mereka [Che] Hassan dan Husin bagi anak lelaki. Manakala bagi anak perempuan mereka diberi nama Maimunah dan [Tun] Zainab. [Che] Hassan dan [Tun] Zainab inilah yang akan menjadi tokoh lapis keempat keluarga pengkaji. [Che] Hassan lahir ke dunia sekitar 1912 di Kg. Kelar Benban. Kelahirannya disambut oleh bidan kampung yang hanya menggunakan alatan tradisional seperti tali nilon (benang terap yang dipintal) dan sembilu buluh (gunanya untuk memotong tali pusat) dan daun kayu/herba sebagai penahan dan penyembuh sakit (semasa Halijah Hj Ahmad melahirkannya).
[Tun]Zainab Taib merupakan tokoh lapis keempat pengkaji yang benar-benar telah mencorakkan lapis-lapis ke bawahnya, termasuklah diri pengkaji. [Tun] Zainab merupakan adik bongsu moyang pengkaji ([Che] Hassan Taib. Gelaran [Tun] di hadapan nama Zainab Taib merupakan manifestasi sumbangan besar Zainab Taib kepada pengkaji. [Tun] Zainab binti Taib dilahirkan sekitar tahun 1915, tetapi kad pengenalan baharunya mencatatkan kelahirannya pada 11 Disember 1921. Pengaruh dan sumbangannya tidak terbatas bagi lapis keempat sahaja, namun merentasi batas lapis keluarga; lapis ketiga, lapis kedua dan lapis pertama keluarga pengkaji. Bukan hanya seputar keluarga pengkaji sahaja namun sumbangannya merentasi empat generasi pengajaran Al-Quran bagi penduduk Kampung Kelar Tok Pukang, Pasir Mas, Kelantan. Dilahirkan di rumah dan kampung yang sama dengan [Che] Hassan, abang sulungnya yang merupakan moyang pengkaji iaitu di Kg. Kelar Benban. Rakaman kehidupannya semasa usia kanak-kanak tidak dapat ditelusuri kerana sudah tidak kedapatan responden seusia dengannya yang dapat menceritakannya. Namun semasa hayatnya, [Tun] Zainab sempat memberitahu pengalamannya tentang peristiwa banjir besar yang terkenal dalam sejarah Kelantan dengan sebutan Bah Merah (24 Disember 1921). Menurutnya, ketika Bah Merah berlangsung di Kelantan, umurnya sudah remaja. Disebabkan air yang datang dari hulu negeri adalah berkeadaan merah dan luar biasa sekali, maka banjir tersebut dipanggil Bah Merah. Bertepatan dengan negeri Kelantan yang sentiasa diserang oleh banjir. Antara banjir yang bersejarah ialah banjir yang dikenal dengan nama Bah Merah iaitu satu-satunya banjir besar yang berlaku di zaman Sultan Ismail. Bah ini telah dijadikan titik sejarah oleh rakyat Kelantan dalam menentukan peristiwa-peristiwa hidup mereka (timeline). Banjir ini telah berlaku pada 26 Disember 1926, menggenangkan tebing-tebing sungai Kelantan dan menenggelamkan bandar Kota Bharu dalam paras air yang dalam dan berlangsung selama 12 hari dan surut kembali pada 8 Januari 1927. banjir ini telah menelan banyak korban jiwa dan memusnahkan rumah tangga, sekolah-sekolah dan membinasakan ternakan-ternakan di daerah-daerah rendah di seluruh negeri Kelantan. Tuk Kenali semasa hayatnya pernah menyebut, “aku ada alamat akan berlaku bah besar, kerana itu kamu bersiap sedialah. Tidak lama selepas menyebut sedemikian, peristiwa bah besar/Bah Merah berlaku. Kisah hidupnya yang sempat dicatatkan adalah bermula zaman perkahwinannya sekitar usia awal 20-an. [Tun] Zainab menamatkan zaman daranya dengan Pak Do Mat, pemuda sekampung dengannya sekitar tahun 1935. Walau bagaimanapun, perkahwinannya dengan Pak Do Mat tidak kekal lama. Selepas tidak lama bercerai, [Tun] Zainab telah dipinang oleh Tayib sekitar tahun 1937. Perkahwinannya dengan Tayib diwarnai dengan pelbagai zaman yang berbeza; Zaman British, Zaman Jepun, Zaman BMA (British Military Administration), Zaman Malayan Union, Zaman Federation of Malaya, Zaman Pembentukan Malaysia hinggalah saat Tayib menghembuskan nafas terakhirnya tahun 1987. Namun [Tun] Zainab terus menyabung hidup hinggalah usianya sampai kepenghujungnya pada 08.05 pagi hari Rabu bertarikh 26 Julai 2007. [Tun] Zainab meninggal dunia tanpa dikurniakan dengan seorang zuriat pun. Walau bagaimanapun, [Tun] Zainab telah memelihara ramai anak-anak buahnya (anak angkat) seperti Jaafar [Che] Hassan, Sarah Mahmod, Ramli Che Husin, Norma, Ahmad Faisal Ramli dan Muhammad Danial Ramli (pengkaji). [Tun] Zainab telah melalui pelbagai zaman yang telah mematangkan pengalaman hidupnya. Apa yang pasti, tuntutan agama sudah menjadi darah dagingnya kerana hingga hampir-hampir akhir hayatnya, tiang agama iaitu solat tidak pernah dilupakan. Sebelum meninggal dunia, pasangan bahagia ini sempat mengerjakan Rukun Islam yang kelima iaitu mengerjakan haji ke Baitullah (Mekah) bagi yang mampu. Mereka telah bertolak ke Mekah menggunakan kapal laut, Eastern Queen di dermaga bandar George Town (sekarang dikenali Pelabuhan George Town). Perjalanan sahala ke Mekah ketika itu mengambil masa 15 hari 15 malam. Kira-kira dua bulan di Tanah Suci (Mekah dan Madinah), [Tun] Zainab ditemani suaminya Tayib (kemudiannya dikenali Haji Tayib) dan madunya (isteri kedua Haji Tayib), Rokiah telah kembali ke tanah air pada awal tahun 1976.
[Tun] Zainab telah mengabadikan hampir tiga suku usianya bagi mendidik anak bangsa dari sudut kerohanian. [Tun] Zainab telah mengajar Al-Quran kepada anak-anak muda Kg. Kelar Tok Pukang seawal 1950-an lagi. Pada awalnya, [Tun] Zainab tidak berniat untuk menjadi guru Al-Quran, namun disebabkan tidak mahu mengecewakan permintaan Siti Mariam dan Pak Do Mat yang menghantar anak mereka Mustopha untuk belajar mengaji Al-Quran, dia telah menerimanya. Mustopha merupakan murid rasmi pertama [Tun] Zainab sebagai guru Al-Quran. Semetelahan lagi, pada ketika itu berlakunya lompang guru agama, kerana guru agama yang ada di kampung ini sebelum itu telah meninggal dunia. Bermula daripada saat itu, semakin ramailah ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke rumah [Tun] Zainab bagi mengaji Al-Quran. Bermulalah fasa dalam kehidupan [Tun] Zainab sebagai teras penting dalam kehidupan sosial masyarakat kampung di Kg. Kelar Tok Pukang khususnya dan Kelantan umumnya. Sememangnya, masyarakat kampung/pedalaman di Kelantan amat memandang tinggi guru-guru agama. Bagi mereka, tugas mengajar ilmu-ilmu agama termasuklah Al-Quran adalah tugas yang mulia dan wajar untuk dihormati. [Tun] Zainab bukanlah guru Al-Quran bidan terjun semata-mata kerana jika ditelusuri lapis ke atas keturunannya, datuk sebelah ibunya, Haji Ahmad yang dikenali dengan panggilan Tok Khatib @ Tok Ayah Khatib merupakan seorang alim yang juga menjadi khatib membaca khutbah semasa solat Jumaat. Tok Khatib turut menjadi guru Al-Quran di Kg. Kelar Benban ketika hayatnya dan meninggal sekitar usia 130 tahun. Jadi, baka keturunannya mengalir ke tubuh [Tun] Zainab yang kemudiannya turut menjadi guru Al-Quran di kampung yang bersebelahan dengan kampung datuknya. [Tun] Zainab mengajar Al-Quran sudah lebih setengah abad yang hanya berakhir sekitar dua bulan sebelum kematiannya, Jun 2007. Bilangan murid-muridnya sudah tidak terkira banyaknya, melangkaui ratusan orang, meliputi tiga generasi. Kehebatan nama [Tun] Zainab, juga dikenali dengan panggilan Mok Aji (Hajjah; di Kelantan dipanggil Aji, kependekkan Haji) selepas menunaikan haji di Makkah pada tahun 1975 melangkaui kampung-kampung bersebelahan. Sekitar 15 hingga 50 tahun dahulu, semua anak-anak di kampung ini ( Kg. Kelar Tok Pukang) dihantar mengaji Al-Quran di rumah [Tun] Zainab. Terdapat juga ibu bapa dari kampung-kampung jiran seperti Kg. Kelar Benban, Kg. Kelar Joha, Kg. Kenjong dan Kg. Pengkalan Rambutan yang menghantar anak-anak mereka mengaji Al-Quran dengan [Tun] Zainab. Walau bagaimanapun, sejak 15 tahun kebelakangan ini, trend ibu bapa menghantar anak-anak mereka mengaji sudah tidak seperti dahulu. Terdapat ibu bapa kampung ini hanya menghantar anak mereka mengaji separuh jalan sahaja ( tidak sampai khatam; tamat 30 juzuk Al-Quran ). Terdapat ibu bapa yang tidak menghantar anak-anak mereka mengaji kerana beranggapan anak-anak mereka sudah belajar di sekolah-sekolah umum (sekolah kebangsaan).
Bagi masyarakat kampung di Kelantan hingga kini, mengaji Al-Quran merupakan salah satu daripada cabang pendidikan wajib. Walaupun mereka tidak mengerti ilmu-ilmu moden yang disifatkan ilmu keduniaan semata-mata, tetapi mereka tidak mengabaikan konsep pendidikan sepanjang hayat seperti yang dinukilkan dalam Al-Quran. Belajar membaca Al-Quran adalah kemestian, di samping juga belajar tajwid (Grammatical), qiraat (teknik pembacaan) dan taranum (melagukan Al-Quran). Inilah pendidikan awal kebanyakan masyarakat kampung di Kelantan terutamanya di sekitar Pasir Mas walaupun pada ketika itu sudah terdapat sekolah-sekolah pondok yang terdekat seperti Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas.
[Tun] Zainab telah dikenali dan dihormati oleh masyarakat kampung ini dan sekitarnya. Sebagai manifestasi kepada perkara yang tersebut, masyarakat kampung terutamanya permastautin Kg. Kelar Tok Pukang membayar zakat harta (zakat padi) kepada [Tun] Zainab apabila sudah cukup haul (timbangan) dan nisab (tahun)nya. Bertepatan dengan pekerjaan utama masyarakat kampung ini dan sekitarnya iaitu menanam padi, maka apabila selesai musim menuai, mereka akan membayar zakat padi kepada [Tun] Zainab. Melalui pembayaran zakat padi, dapat disimpulkan bahawa [Tun] Zainab merupakan tempat tumpuan masyarakat kampung. [Tun] Zainab menjadi titik fokus masyarakat kampung ekoran peranannya sebagai guru Al-Quran. Manakala semasa bulan Ramadhan hingga sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri (Hari Raya Fitrah), masyarakat kampung akan datang membayar zakat fitrah kepada [Tun] Zainab. Dahulu hanya menggunakan beras, namun sekarang sudah menggunakan wang sebagai nilaian zakat fitrah. Jelas, kearifan serta autoriti dalam agama memainkan peranan dalam menentu ukur taraf sosial seseorang dalam masyarakat kampung di Kelantan khususnya. Manifestasi penghormatan yang diberikan kepada [Tun] Zainab juga tertonjol melalui jemputan mengetuai majlis khatam Al-Quran di rumah-rumah pelajarnya. Majlis khatam Al-Quran diadakan sempena pelajar tersebut berjaya menamatkan pengajian Al-Quran sebanyak 30 juzuk (bab). Biasanya majlis khatam Al-Quran diadakan dalam bentuk halaqah (bulatan), guru Al-Quran akan berada di kedudukan utama, diikuti oleh golongan tua yang pandai membaca Al-Quran (biasanya sekurang-kurangnya 20 orang). Pelajar yang khatam Al-Quran akan ditempatkan di tengah-tengah bulatan tersebut dan akan mengikuti bacaan ayat-ayat Al-Quran (biasanya surah Ad-Dhuha yang dibaca oleh guru Al-Quran tersebut serta golongan tua kampung yang diajak. Biasanya majlis tersebut diadakan semeriah seperti kenduri kahwin. [Tun] Zainab telah lebih setengah abad diamanahkan menjadi teraju utama majlis khatam Al-Quran yang diadakan di Kg. Kelar Tok Pukang. Amanah yang diberikan oleh masyarakat kampung ini jelas menunjukkan bahawa [Tun] Zainab benar-benar dihormati.
Masih segar dalam ingatan penulis kata-kata [Tun] Zainab semasa hayatnya,” Hidup dan mati mok (ganti nama [Tun] Zainab) adalah dalam menegakkan Islam melalui PAS.”
[Tun] Zainab terus menyabung hidup hinggalah usianya sampai kepenghujungnya pada 08.05 pagi hari Rabu bertarikh 26 Julai 2007. Moga Allah memberkatinya...
Moga-moga sesiapa yang membaca tulisan ini yang mengenali Allahyarhamah Hajah Zainab binti Taib semasa hayatnya akan terkenang kembali jasanya sebagai tokoh yang banyak mendidik rohani untuk bertemu Allah Robbul Jalil.
Gambar Hajah Zainab bt. Taib mengajar Al-Quran di rumahnya di Kg. Kelar Tok Pukang, 1970-an
No comments:
Post a Comment