Tuesday, January 24, 2012

PKMM PEMBERONTAK! BENARKAH?


PKMM PEMBERONTAK! BENARKAH?
Oleh: Muhammad Danial Ramli
Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sejarah Universiti Pendidikan Sultan Idris

PENGENALAN

PKMM pemberontak? Parti Kebangsaan Melayu Malaya merupakan pemberontak? Penulis beranggapan ayat yang tersebut merupakan perkataan yang amat sesuai untuk didampingkan bersama-sama. Namun, adakah pada realiti, atau hanya pada fantasinya sahaja? Penulis akan cuba untuk mengutarakan gagasan pemikiran penulis tentang PKMM. Gagasan ini bukan didasari oleh hambatan emosi yang membuak-buak, tetapi akan diapiti dengan fakta-fakta yang sudah jelas termaktub dalam lipatan sejarah.

SEJARAH PENUBUHAN
Sebelum ‘menyelam ke dasar persoalan’ PKMM, adalah elok jika terlebih dahulu berkenal-kenalan dengan PKMM itu sendiri. Masakan mahu dicakap atau dikata, jikalau tidak mengenali siapa dan apa. Ramlah Adam mengatakan PKMM merupakan parti politik Melayu terawal ditubuhkan di Semenanjung selepas Jepun menyerah kalah di negara ini. PKMM ditubuhkan secara rasminya pada 17 Oktober 1945 di Ipoh, Perak.[1] Sudah ramai pengkaji PKMM turut menceritakan rentetan penubuhan PKMM secara terperinci, namun, bukan niat penulis untuk menghuraikannya dengan lebih lanjut. Yang Dipertua PKMM yang pertama dilantik adalah Moktaruddin Lasso, Naib Yang Dipertua adalan Dr. Burhanuddin al-Helmy, Setiausaha Agung dipegang oleh Dahari Ali, dan Arshad Ashaari pula menjadi Bendahari. Ahli Jawatankuasa Pusat pula adalah terdiri daripada Ahmad Beostamam (ketua pemuda), dan Khadijah Ali (ketua wanita).[2]
PKMM PEMBERONTAK?
Pemberontak atau pengganas, leftist, radical pro- Indonesian, the malay left[3], nasionalis kiri Melayu, dan entah segala macam lagi perkataan dan istilah yang diguna (dalam bahasa yang lebih santun, ‘dihamburkan’) terhadap PKMM adalah sudah menjadi satu simbolisme dan bayangan kepada. Betulkah PKMM ini pemberontak atau pengganas, atau leftist, atau radical pro-Indonesian, atau the Malay left, atau nasionalis kiri Melayu? Persoalan ini yang ingin dikupas oleh penulis dalam perbincangan yang  serba ringkas. Bermacam-macam tulisan yang telah diteliti dan didalami oleh penulis yang membincangkan tentang PKMM. ‘Penulis-penulis’ buku sejarah yang sempat diteliti kajiannya tentang PKMM adalah Ramlah Adam, Khoo Khay Kim, Cheah Boon Kheng, Mohamed Salleh Lamry asyik memberikan penekanan yang sama iaitu PKMM adalah gerakan kiri, atau radikal, atau semacam dengannya. Bagi penulis asas kepada ‘tohmahan-tohmahan’ sedemikian adalah berpunca daripada satu perkara pokok yang sentiasa diulang sebut; Parti Komunis Malaya (PKM) menaungi dan meresapi Parti Kebangsaan Melayu Malaya. PKM, bagi penulis telah dikambinghitamkan oleh pendokong aliran ini[4]bagi menghentam apa yang dilihat tidak sealiran dengan massa.

              There the party’s eight points programme was produced and adopted. It                  was similar to the MCP’s eight points programme of 27 August...”[5]

              The MCP should therefore ‘infiltrate secretly’ into organizations like                         MDU and MNP- its ‘allies’- and ‘help thier activities’”.[6]

             Oleh kerana PKMM termasuk sebagai salah satu perancangan PKM, maka penterapan dan pengawalan PKM dalam PKMM sangat jelas. Jika dilihat dari segi keanggotan jawatankuasanya, ternyata PKM menguasai PKMM.[7]

            Renung-renungkan dengan ‘mata hati’ segala apa yang telah penulis kutip daripada pandangan-pandangan ‘yang dikatakan pakar sejarah’. Begitu prejudis. PKMM telah dibantai habis-habisan ekoran perkaitannya dengan PKM yang mendokong kuat fahaman komunisme. Mereka-mereka ini yang pada hemat penulis telah mengkaji dengan menggunakan pelbagai pendekatan pensejarahan semasa mengkaji tentang PKMM, namun apa yang menghairankan, mengapa sanggup mereka membantai PKMM. Kenalkah mereka kepada PKMM? Kepada perjuangan PKMM? Atau hanya disebabkan ‘bau-bau bacang’ dengan PKM membuatkan PKMM dicemuh sedemikian rupa? Atau, mungkin PKMM tidak sejalan dengan pandangan dan kehendak mereka?.
Penulis tidak ingin memperlekehkan pandangan para ‘sejarawan’ terkenal ini, tetapi, penulis turut mempunyai gagasan idea tersendiri tentang keberadaan PKMM di bumi politik Negeri-negeri Melayu, Tanah Melayu. Penulis yakin dengan ‘renungan mata hati’ yang didasari dengan ‘telahan mata kasar’ bahawa PKMM adalah bukannya pemberontak, PKMM bukannya pengganas, PKMM bukannya leftist, PKMM bukannya the left Malay, PKMM bukannya nasionalis kiri. Mengapa penulis berpandangan sedemikian? Adakah hanya didasari oleh emosi yang hanya ingin menyangkal pandangan orang lain? Bukan! Penulis telah membuat kajian melalui tulisan-tulisan tentang politik Malaysia, biografi tokoh-tokoh termasuklah memoir tokoh-tokoh yang terlibat termasuklah memoir Haji Abdul Majid (tokoh PKMM), biografi Ahmad Boestamam (PKMM) dan Dato’ Onn.
Semasa proses mencari, mengkaji inilah penulis telah menyedari bahaawa PKMM adalah tidak seburuk yang disangka. Gerakan radikal kiri mahupun nasionalis kiri Melayu hanyalah skop pandangan yang telah dijelmakan oleh pemerintah British semasa British Military Administration (BMA) berkuatkuasa. Disebabkan PKMM tidak sehaluan dengan kehendak British yang seperti biasa ingin memperkotak-katikkan bangsa Melayu, telah menyebabkan British mempropagandakan ‘kekirian’ PKMM. Maka, golongan ‘high class’ Melayu yang juga dikenali dengan gelaran Sultan dan aristokrasi istana turut sama bersekongkol dengan ‘durjana istimewa’ British menguatkan lagi konsep ‘kekirian’ PKMM. 

PANDANG-PANDANG, DENGAR-DENGAR

PKMM; Parti Komunis Melayu Malaya! Parti Komunis Mahu Malaya! Macam-macam gelaran terpaksa ditanggung. Mengapa PKMM menyokong Malayan Union?
            PKMM tetap menyambut Malayan Union dengan harapan yang tinggi        kerana menolak Malayan Union beerti berbalik kepada aturan lama rujuk         kepada cara lama yang hanya memberi faedah kepada sekelompok rang         Johor Bharu, orang Kelang dan orang Kuala Kangsar sahaja, bukan             kepada rakyat jelata.[8]

Bukankan bagus jika Malayan Union dapat dilaksanakan? PKMM yang menghadapi gelora politik ekoran penentangan orang Melayu terhadap konsep Malayan Union terpaksa merubah pendekatan dengan menyertai tentangan tersebut. Namun, pada hakikatnya, molek benar sokongan yang diberikan oleh PKMM tersebut.
            PKMM hanya aliran kiri dalam politik Melayu seringkali diperkatakan. Nasionalisme Melayu! Nasionalisme Melayu! Nasionalisme Melayu! Saban ketika kedengaran jerit pekik dalam sanubari orang Melayu. Orang Melayu yang mana? Yang betul-betul Melayu? Atau yang campuran Melayu? Cuba perhatikan slogan PKMM yang  8: 1)   Mempersatukan bangsa Malaya, menanamkan semangat kebangsaan di kalangan                                        orang Melayu dan bertujuan untuk menyatukan Malaya dalam keluarga yang        besar iaitu Republik Indonesia Raya.
     2) Bertujuan hendak mencapai hak kemerdekaan berpidato, bergerak, bersidang,           berfikir dan menuntut pelajaran.
     3) Membangkitkan kedudukan iktisad bangsa Melayu dengan jelas, memajukan            perusahaan, perniagaan dan pertanian serta menaikkan taraf penghidupan bangsa     Melayu.
    4)  Mencapai kebebasan bercucuk tanam. Orang yang hendak bercucuk tanam itu           dibebaskan membayar sewa tanah pada bila-bila masa dan di mana juga dan           dibebaskan pula menjual hasil usahanya di pasar perniagaan.
    5)  Mengkehendaki diberi kebebasan mendirikan sekolah kebangsaan mereka, iaitu        tempat mereka dapat pelajaran dengan bahasanya dengan percuma.
    6)  Mengkehendaki kebebasan mencetak buku sendiri, menggalakkan pelajaran secara    demokrasi, supaya meninggikan kedudukan bangsa Melayu dalam siasah(politik)          untuk mendakyahkan rasa kebangsaan kepada orang Melayu.
    7)  PKMM hendak berkerjasama dengan bangsa-bangsa lain yang tinggal dalam             negerinya ini hidup berbaik-baik dan bekerja untuk mendirikan perpaduan          penduduk Malaya (Malayan United Front) bagi menjadikan Malaya     Merdeka makmur dan bahagia sebagai satu anggota Repulik Indonesia.
     8) Menyokong gerakan umat Indonesia dalam perjuangan mereka merebut         kemerdekannya.[9]
PKMM dalam piagamnya awal-awal lagi sudah melaungkan konsep nasionalisme yang lebih luas cakupannya, berbanding United Malay National Organization (UMNO) yang mendapat sokongan British, hanya melaungkan nasionalisme perkauman yang sempit.[10]
Penulis tertarik dengan nukilan tokoh PKMM Johor suatu ketika dahulu iaitu Hj Abdul Majid Salleh “...cogan kata UMNO ‘Hidup Melayu’..., sedangkan cogan kata PKMM ialah ‘ Merdeka’.[11]
            Kalau untuk hidup sahaja burung di dalam sangkar pun hidup, ayam           pun hidup juga diberi oleh tuannya makan, kambing pun hidup juga,      tetapi adalah seperti bumi dengan langit perbezaannya antara hidup   sebagai anak penjajah dan hidup Merdeka.[12]

Cuba renung-renungkan sendiri, pihak manakah yang benar-benar kiri dan sewaktu dengannya? Atau pihak manakah yang kanan? Penulis berpendapat, PKMM merupakan sebuah parti yang benar-benar idealistik pada masa tersebut, bagi memperoleh kebebasan mutlak daripada kerakusan penjajah British yang tidak kehabisan putar belitnya.
            ...untuk mendirikan perpaduan penduduk Malaya(Malayan United Front)   bagi menjadikan Malaya Merdeka makmur dan bahagia sebagai satu   anggota Repulik Indonesia.[13]
Penulis ingin menjelaskan tentang Malayan United Front agar tidak berlakunya kekeliruan kemudiannya. Matlamat pembentukan Malayan United Front menurut Ishak Saat, adalah pada awalnya memang dicita-citakan oleh PKM. Namun, selepas Moktaruddin Lasso meninggalkan PKMM tanpa khabar berita, Dr. Burhanuddin al-Helmy telah dilantik menjadi Yang Dipertua PKMM yang baru. Dr. Burhanuddin telah berusaha dan berjaya membersihkan PKMM daripada pengaruh komunis.[14]
            Kamaruddin Jaafar menukilkan kata-kata Dr. Burhanuddin al-Helmy, dengan katanya;
            “...oleh kerana perjuangan kita, maka kita memilih jalan yang sederhana      dan ditengah-tengah, yang saya sebutkan selalu dengan Kebangsaan       Yang Bulat. Kita menentang penjajahan tetapi tidak pula pro-Komunis.         Kita mahu balik hak keadilan tanah air kita dan kebangsaan kita yang         berdaulat, sebagaimana kita belum dipengaruhi dan dijajah dahulu...”[15]

Nah, macam mana! Sudah berubah atau masih kekal pada yang lama? Pada yang lama bermaksud masih kekal mengatakan bahawa PKMM adalah pemberontak, PKMM adalah pengganas, PKMM adalah leftist, PKMM adalah radical pro-Indonesia, PKMM the left Malay atau PKMM adalah nasionalis kiri? Atau adakah sudah berubah sebagaimana pandangan penulis tentang PKMM. Penulis berpendapat PKMM pejuang bangsa yang tulen.

KESIMPULAN
Ruangan yang terbatas ini hanya membenarkan penulis mentafsirkan serba sedikit tentang PKMM. Penulis juga cuba untuk membuka satu dimensi baru tentang PKMM yang selama ini dilontar dengan segala macam tohmahan. Moga kesedaran yang sedikit ini akan makin berkembang dalam jiwa sanubari penulis. Moga ia juga mampu membentuk gagasan baharu tentang tanggapan ‘semasa’ tentang PKMM. Penulis tutupi kupasan serba sedikit tentang PKMM ini dengan puisi khas buat pejuang PKMM. PARTI KEBANGSAAN MELAYU MALAYA!!!MERDEKA!MERDEKA!MERDEKA!

 

PKMM


Pemberontak engkau, betulkah?
Pengganas engkau, betulkah?
Mengapa saban hari engkau dihina, dicaci, dimaki?
Kirikah engkau? Bukan kanan?
Burhanuddin manis bicara, lembut, santun budinya,
Boestamam kekar, keras jiwanya
Komunis, nyah engkau!
Sosialis, nyah engkau!
Nasionalis assabiyah jumud, nyah engkau!
Kebangsaan Islam, datang kemari.
Dekati kami yang menanti
Pancarkan sinar keadilan
Hamparkan bumi bertuah
Bumi kita, dengan laungan, pekikan
MERDEKA!MERDEKA!MERDEKA!




[1]               Ramlah Adam (2004). Kemelut politik semenanjung Tanah Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti
                   Malaya, hlm. 81.
[2]               Mohamed Salleh Lamry (2006). Gerakan kiri Melayu dalam perjuangan kemerdekaan. Bangi: Penerbit
                   Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 62.
[3]               Khoo Kay Kim banyak kali mengulang-ulang  istilah ‘the Malay left’ yang bagi penulis ditujukan kepada
                   PKMM. Rujuk Khoo Kay Kim (1991). Malay society transformation & democratisme: a stimulating an
                  discerning study on the evolution of Malay society. Subang Jaya: Pelanduk Publications Sdn. Bhd., hlm.
                  185 dan 187.
[4]               Aliran ini bermaksud, penulis-penulis buku sejarah yang mewujudkan PKMM sebagai ikon yang
                   negatif.
[5]               Cheah Boon Kheng (2003). Red star over Malaya: resistance & social conflict during and after the
                   Japanese occupation, 1941-1946. Singapore: Singapore University Press & National University of
                   Singapore, hlm. 279.
[6]               MDU(Malayan Democratic Union) dan MCP(Malayan Chinese Party). Rujuk Albert Lau (1991). The
                  Malayan union controversy 1942-1948. Oxford & New York: Oxford University Press, hlm. 245.
[7]               Ramlah Adam op. cit., hlm 85. Ramlah Adam dalam bukunya ini telah menceritakan dengan terperinci
                   tentang hal ini.
[8]               Pelita Malaya , 23 Mac 1946 dalam  Ibid., hlm. 95.
[9]               Ramlah Adam (1994). Ahmad Boestamam: satu biografi politik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
                    Pustaka dan Kementerian Pendidikan Malaysia, hlm. 79-80.
[10]             Nasionalisme yang sempit ini adalah didasarkan kepada laungan UMNO yang hanya memperjuangkan
                    Melayu. Bertentangan dengan prinsip PKMM yang menekankan kepada kerjasama antara kaum yag ada
                   di Malaya.
[11]             Abdul Majid Salleh (2004). Memoir Abdul Majid Salleh dalam PKMM dan kesatuan buruh dengan puisi
                    perjuangan. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 77.
[12]             Ibid., hlm. 77.
[13]             Perkara 7 Rang Undang-undang PKMM ini terdapat dalam fail Setiausaha Agung UMNO, No. 96/1946
                    dalam Ramlah Adam, loc. cit.
[14]             Ishak Saat (2007). Sejarah politik Melayu pelbagai aliran. Shah Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd.,
                    hlm. 90.
[15]             Ramlah Adam (1993). Dr. Burhanuddin al-Helmy: Kajian mengenai kegiatannyadalam PKMM 1946-1948 dalam Titian. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, hlm. 6.

No comments:

Post a Comment