Tuesday, January 24, 2012

HURAIKAN KESAN-KESAN PERANG DUNIA KE-2, KHASNYA PENDUDUKAN JEPUN KE ATAS GERAKAN NASIONALISME ASIA TENGGARA.


HURAIKAN KESAN-KESAN PERANG DUNIA KE-2, KHASNYA PENDUDUKAN JEPUN KE ATAS GERAKAN NASIONALISME ASIA TENGGARA.

PENGENALAN
Apabila membincangkan impak ataupun implikasi Perang Dunia Ke-2 kepada Asia Tenggara, tidak boleh tidak, pendudukan Jepun perlu diambil kira. Pendudukan Jepun di Asia Tenggara pada dan pasca Perang Dunia ke-2 merujuk kepada pro dan juga kontranya, namun pada akhirnya kedua-keduanya menghasilkan gagasan yang meransang kepada percambahan dan perkembangan mendadak kepada gerakan nasionalisme di negara-negara di Asia Tenggara.
            Namun, pertama kalinya perlu dilihat akan pengertian nasionalisme itu sendiri, kemudiannya betapa sifat-sifat nasionalisme itu mempunyai peranan terhadap kemerdekaan sesebuah negara di Asia Tenggara dan membebaskan diri daripada belenggu penjajah. Selain itu, kesan atau impak yang dibawa oleh nasionalisme moden ini.
NASIONALISME
“The term ‘nationalism’ whose earliest mention can be found in a work of1774 by her German philosopher Johann Gottfried Herder, did not begin to enter into general linguistic usage until the mid-nineteenth century”.[1]
            Sekiranya difikirkan makna nasionalisme itu pastinya ia membawa pelbagai makna antara satunya ialah, nasionalisme pada umumnya membawa maksud faham kebangsaan. Biasanya nasionalisme merujuk bangsa  dan negara. Dalam konteks penjajahan di Asia Tenggara, nasionalisme secara khusus membawa pengertian kepada satu kesedaran yang membangkitkan semangat bertujuan untuk mendapatkan kebebasan dan kemerdekaan. Dr. R. Suntharalingam telah memberi satu takrif yang sangat menarik berkenaan nasionalisme yang kini menjadi rujukan umum dunia akademik terutamanya pengkaji sejarah politik. Menurutnya, nasionalisme itu merupakan satu “fenomena sejagat, yang mengiktiraf hak setiap bangsa di dunia untuk menubuhkan negara sendiri, memindahkan kedaulatan rakyat kepada negara bangsa itu” tidak kiralah jika konsep negara itu hanyalah sebuah masyarakat politik yang diimaginasikan.[2]jika diambil contoh Myanmar, nasionalisme itu dikenal pasti sebagai “uasaha menamatkan penjajahan serta merombak nilai dan institusi politik secocok dengan konsep negara bangsa yang bebasdan berdaulat”.[3]
            Nasionalisme dari aspek sains politik turut membawa pengertian kesedaran identiti dan solidariti.[4] Nasionalisme merupakan ideologi yang menekankan negara-walaupun pada pengertiannya dan darjah yang agak berbeza dari fasisme ialah nasionalisme. Nasionalisme menuntut satu rangka sikap dan kepercayaan individu yang memberikan ketaatan tertinggi kepada negara-bangsa. Ideologi nasionalisme, daripada banyak segi, melampaui ideologi-ideologi lainnya di negara-negara moden hari ini. Ia biasa sahaja seiring dengan berbagai ideologi lain termasuk di sistem-sistem politik yang ideologi asasnya bertentangan, pada prinsipnya, dengan semangat nasionalisme itu sendiri. Nasionalisme berasaskan kesayangan dogmatis kepada negara dan bangsa; ini digambarkan oleh ungkapan “my country, right or wrong”(negaraku, sama ada ia betul atau salah”). Nasionalisme ialah perasaan dan sikap tentang identiti dan destini bersama sesuatu kumpulan yang berlainan dan terpisah (dan dianggap berlainan dan terpisah) dari kumpulan-kumpulan lain; ia membezakan di antara “in-group” dengan “out-group,” di antara “kita” dengan “mereka”.[5]
“Nationalism is a theory of political legitimacy which requires hat ethnic boundries should not cut across political ones, and, in particular, that ethnic boundries within a given state”.[6] 
            Nasionalisme merupakan unsur penting dalam proses “membina negara” dan sebagai alat untuk menjamin berterusnya kewujudan negara. Ideologi nasionalisme ini sangat rapat sekali dengan kenegaraan, malah negara moden itu sendiri timbul bersama dengan nasionalisme. Revolusi Perancis 1789 selalu sahaja dianggap titik mulanya konsep negara moden; ia juga titik mula timbulnya ideologi nasionalisme moden yang kini telah mempengaruhi- kalaupun tidak menjadi penentu-semua negara moden walau apapun ideologi rasmi sistem politiknya. Bagi membincangkan dengan sifat nasionalisme dan kesan nasionalisme moden ini, kita akan merenung dari perspektif Asia Tenggara sebagai rujukan utama kebangkitan nasionalisme yang pernah dijajah oleh kuasa-kuasa besar.
            Merujuk kepada sifat nasionalisme itu sendiri, fokusnya hanyalah tertumpu kepada kesedaran dan gerakan nasionalisme tempatan di Asia Tenggara. Pada peringkat awal nasionalisme adalah bersifat penentangan terhadap penjajah yang datang sama ada oleh sami Buddha di Burma, pembesar di Tanah Melayu, Vietnam, Jawa dan Sumatera dan ketua daerah di Filipina. Penjajahan ini adalah kesan daripada keadaan politik yang kurang stabil di Asia Tenggara. Kemudian gerakan nasionalisme di  Asia Tenggara adalah lebih teratur disebabkan dengan lahirnya golongan yang berpendidikan yang menggunakan saluran yang lebih baik dengan menyebarkan pemikiran mereka dengan menggunakan akhbar ataupun dengan menggunakan majalah-majalah seperti Majalah al-Imam, La Solidaridad dan sebagainya. Golongan ini adalah mereka yang mendapat pendidikan Barat ataupun memiliki pendidikan Arab. Mereka telah memahami budaya, ilmu pengetahuan dan nilai hidup barat  dan telah melihat perkembangan dunia luar.       Semangat peningkatan kehidupan sama ada sosial mahupun ekonomi menjadi agenda utama pada dua dekad abad ke- 20. Politik juga diberi perhatian yang lebih selain telah mula membuat tuntutan politik dengan menerangkan persamaan hak untuk mendapatkan pendidikan. Ia bukan saja melibatkan kaum lelaki tetapi jua kaum wanita sepertimana halnya di Indonesia yang diperjuangkan oleh Raden Adjeng kartini. Penentangan adalah berbentuk dinamik, keras dan berani menentang penjajah. Kebanyakan golongan ini terdiri daripada golongan guru, wartawan, penulis atau pegawai kerajaan yang kurang mendapat perhatian kerajaan tetapi telah mendapat pendedahan daripada Jepun yang pernah menakluki  Asia Tenggara.
            Juga terdapat kegiatan nasionalisme daripada golongan imigran seperti China dan India yang memperjuangkan mayarakat mereka. Kegiatan mereka adalah amat berbeza daripada kegiatan nasionalisme tempatan. Kedatangan mereka  adalah untuk mencari pendapatan dan bukanlah untuk terus menetap di  Asia Tenggara. Kelahiran warga tempatan daripada masyarakat China ini mengubah pendirian ini menjadikan kegiatan mereka tertumpu pada kemahuan mendapatkan kewarganegaraan di  negara-negara  Asia Tenggara.[7]

IMPLIKASI PENDUDUKAN JEPUN KE ATAS NASIONALISME DI ASIA TENGGARA
Selepas perang dunia berakhir, dunia telah sedar akan kewujudan sebenar Asia Tenggara yang tidak pernah diketahui sebelumnya. Belanda yang telah banyak menanamkan modal di Indonesia daripada wang pertaruhan kebangsaannya, atau kepada perancis yang menganggap Empayar Indo-Chinanya sangat mustahak untuk memelihara kedudukannya di dunia. Berkaitan dengan orang-orang di wilayah yang diduduki Jepun, pengalaman mereka diwaktu pemerintahan Jepun telah membangkitkan perangsang yang tidak terhingga terhadap gerakan nasionalisme di negara mereka.

KESAN PSIKOLOGI
Kemenangan Jepun dalam beberapa siri peperangan juga telah menjadi inspirasi penting terhadap titik tolak bangunnya gerakan kesedaran kebangsaan di Asia Tenggara. Hal ini dapat dilihat menerusi kejayaan Jepun menundukkan kuasa besar China yang mempunyai bilangan ketenteraan yang lebih besar berbanding Jepun. Walaupun Jepun mencapai kemenangan dalam Perang China Jepun,  namun kemenangan ini membantu menaikkan imej Jepun tetapi kesannya ke atas status Jepun tidaklah begitu penting berbanding kemenangannya ke atas Rusia. Ini disebabkan negara China merupakan sebuah negara yang lemah dalam tahun 1894-95. Ia telah diturunkan kepada status separa kolonial oleh kuasa-kuasa barat. Tetapi kemenangan Jepun ke atas Rusia memberi gambaran berbeza. Rusia selama ini sebenarnya dianggap sebagai sebuah kuasa besar di Asia Timur. Ia juga digolongkan sebagai sebuah kuasa Eropah. Namun kekalahannya di tangan Jepun dalam tahun 1904-05 bukan sahaja menghacurkan mitos bahawa kuasa-kuasa barat tidak dapat dikalahkan tetapi turut meninggikan status Jepun sebagai sebuah kuasa besar di asia Tenggara. Kejayaan Jepun mengalahkan Rusia merupakan kemenangan yang sungguh besar dan memberikan sinar harapan baru dalam bermulanya kebangkitan golongan nasionalis untuk memperjuangkan tanah air mereka daripada pihak penjajah. Pada tahun 1907, seorang tokoh bernama Abdullah Abdul Rahman telah menghasilkan karya berjudul 'mataharai memancar' (the rising sun) yang menceritakan sejarah jepun. Karya ini telah dialihbahasakan oleh beliau daripada karya Mustafa kamal dari turki yang asalnya daripada bahasa arab. Menurut za'ba (modern development, hlm 148), karya ini telah berjaya merangsang pembaca serta menimbulkan perasaan bangga dan harapan untuk membawa pembaharuan di timur dan ini termasuklah kepada pembaca melayu.
            Jepun menggunakan slogan ‘Lingkungan Kemakmoran Bersama Asia Timur Raya’ dan ‘Asia untuk orang Asia’ bagi mengaburi mata penduduk tanah jajahannya.[8] Mereka mahu penduduk-penduduk tanah jajahannya berkerjasama dalam bidang politik dan di bawah arahanya dan mereka bekerja dengan cara berekonomi.[9] Slogan ini bukan sahaja menarik minat penduduk tempatan, malah telah menimbulkan satu fahaman ideologi yang baru bagi membina perjuangan yang mampan untuk bertindak melawan penjajah iaitu golongan barat. Kejayan demi kejayaan Jepun mengalahkan kuasa Barat telah membuka mata beberapa golongan penduduk Asia Tenggara bahawa orang Barat yang mereka geruni selama ini tidaklah sekuat mana. Hanya dengan berbekalkan semangat cintakan tanah air dan kesepakatan antara semua rakyat, barulah kemenangan itu boleh dicipta.

PELUANG PENTADBIRAN
Semasa pendudukan Jepun, kuasa ini telah memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk bersama-sama dengan tentera Jepun memerintah negara mereka. Golongan terpelajar juga telah diberi peluang untuk menyertai pentadbiran. Manakala ahli-ahli politik pula diberi kebebasan untuk berpolitik. Kekalahan Belanda di tangan Jepun telah meninggalkan kekosongan jawatan dalam pentadbiran Indonesia. Oleh sebab Jepun kekurangan pegawai pentadbir, maka rakyat Indonesia yang  terpelajar telah dilantik memegang jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran. Misalnya di Indonesia, tahanan politik semasa penjajahan Barat seperti Sukarno, Hatta dan Syahrir telah dibebaskan.
            Pada 1 Mac 1943, Pusat Tenaga Rakyat @ PUTERA ditubuhkan di Indonesia dan Sukarno dilantik sebagai pemimpinnya dengan dibantu oleh Hatta. Selain itu juga, pemimpin Sukarno dan Hatta dibenarkan berpolitik dan berpidato ke seluruh Indonesia. Namun begitu, secara realitinya tentera Jepun masih mempunyai kuasa di Indonesia walaupun secara penglihatan penduduk tempatan Indonesia, mereka melihat bahawa orang Indonesia telah mempunyai pemimpin yang bergerak bebas memimpin mereka. Pengalaman dalam pentadbiran telah memberi keyakinan diri serta kesedaran terhadap kemampuan mereka untuk mentadbir negeri sendiri. Selain itu, terdapat pegawai-pegawai Indonesia yang berselindung di sebalik jawatan mereka dalam memperjuangkan nasionalisme Indonesia.
             Jepun juga telah memberi peluang kepada golongan terpelajar untuk menjawat jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan. Misalnya di Indonesia, terdapat beberapa orang rakyat tempatan Indonesia telah dilantik untuk menjadi pegawai-pegawai bagi menggantikan tempat pegawai-pegawai Belanda dalam pentadbiran Jepun di Indonesia dan diberikan tugas penting untuk melaksanakan tugas mereka dengan jayanya. Langkah ini telah mengukuhkan lagi kepercayaan mereka kepada diri sendiri dan meningkatkan keyakinan orang Indonesia untuk mentadbir negara sendiri.

KETENTERAAN
Pemberian latihan ketenteraan kepada rakyat tempatan yang berminat untuk menyertai bidang ketenteraan juga telah mencetuskan semangat nasionalisme di kalangan nasionalisme. Contohnya di Burma, Minami Kikan telah melatih Komred 30 dan BIA sebagai penentang terhadap usaha-usaha Jepun yang berminat untuk meluaskan bahasa dan kebudayaan mereka.
            Di Vietnam, Jepun telah membentuk satu pentadbiran tempatan yang diketuai oleh Tran Trong Kim selepas Ngo Dinh Diem enggan memberikan kerjasama. Pentadbiran baru yang dibentuk telah berjaya menyelesaikan pelbagai masalah termasuk mengenai kebuluran, rasuah, sistem cukai dan mobilasi belia tanpa sebarang kuasa. Dengan memberi peluang kepada rakyat tempatan untuk mentadbir sesebuah organisasi besar ini, pihak Jepun seakan-akan memberi ruang kepada rakyat tempatan untuk mengumpul dan menyelesaikan beberapa masalah yang dihadapi oleh rakyat tempatan yang selama ini terbengkalai kerana tidak diselesaikan oleh Jepun. Peluang yang telah diberikan ini juga akhirnnya telah mengubah kehidupan rakyat sedikit sebanyak dan memberikan faedah serta manfaat kepada penduduk terutamanya dalam kearah pentadbiran negara mereka sendiri kelak.
            Begitu juga di Indonesia, setelah Jepun gagal dalam pembentukan PUTERA, Mokokai dan Masjumi kemudiannya menubuhkan PETA atau Pembela Tanah Air pada bulan September 1943. Tujuan Jepun menubuhkan PETA adalah untuk melatih tentera sukarela Indonesia bagi menghadapi serangan tentera Berikat. Anggota-anggota PETA  mempunyai semangat kebangsaan yang tinggi dan mereka bukan sahaja berperasaan anti-Belanda malahan juga berperasaan anti-Jepun. Sebenarnya anggota-anggota PETA inilah yang menjadi tulang belakang kepada tentera republik Indonesia setelah Jepun tewas dan berundur dari Indonesia.[10]


KERJASAMA DENGAN NASIONALIS
Selepas menguasai Indonesia, Jepun telah membebaskan nasionalis-nasionalis yang telah dipenjarakan oleh Belanda. Antara mereka ialah Sukarno, Hatta, Shahrir, Amir Syarifuddin, Sartono dan lain-lain lagi. Pembebasan nasionalis ini membolehkan perjuangan ke arah kemerdekaan diteruskan sama ada melalui kerjasama dengan Jepun seperti Sukarno dan Hatta atau melalui gerakan bawah tanah seperti Shahrir dan Amir Syarifuddin. Walaupun tindakan Jepun membebaskan nasionalis bertujuan mendapat sokongan nasionalis dalam usaha untuk mengekal dan mengukuhkan kedudukan Jepun tetapi langkah tersebut telah menguntungkan perjuangan nasionalisme Indonesia. Dalam menjalankan pentadbiran, Jepun bekerjasama dengan nasionalis dengan tujuan untuk mendapat sokongan nasionalis dalam usaha untuk mengeksploitasikan penduduk serta sumber Indonesia bagi kepentingan negeri Jepun. Nasionalis seperti Sukarno dan Hatta telah diberi kebebasan bergerak dan berpidato ke seluruh Indonesia. Kesempatan ini digunakan oleh nasionalis untuk menanamkan semangat kebangsaan di kalangan rakyat Indonesia, khususnya perasaan anti penjajah iaitu anti-Jepun dan anti-Belanda.
            Selain itu juga, kesepakatan Jepun dengan penduduk tempatan boleh dilihat di Myanmar. Pada Mei 1942, Jepun berjaya menawan Myanmar dengan bantuan golongan nasionalis Thakin yang berpendidikan sekular/Barat dibawah pimpinan Aung San. Kerajaan British diambilalih oleh golongan Thakin. Jepun tidak banyak membuat perubahan semasa pengambilannya terhadap Myanmar. Jepun membebaskan pemimpin ahli politik seperti Dr. Ba Maw, U Nu, U Ba Pa, Than Tun dengan harapan mendapat sokongan mereka setelah pentadbiran golongan Thakin tidak memuaskan Jepun sehingga membawa kepada kejatuhan pemerintahan Thakin. Sebuah kerajaan boneka di bawah Dr. Ba Maw telah ditubuhkan. Tentera Pembebasan Myanmar yang menolong Jepun untuk memperolehi kuasa di Myanmar telah dihapuskan dengan alasan seramai 30 ribu askar daripadanya tidak berdisiplin dan melakukan rompakan. Sebagai gantinya, angkatan Tentera Pertahanan Myanmar (Burmist Defense Army) telah dibentuk dan Dr. Ba Maw menjadi Adipati (ketua negara) dan dibantu oleh sebuah kabinet.[11]
            Pendudukan Jepun di Asia Tenggara antara 1942-1945 memberi kesan sebagai pemangkin dengan mempercepatkan perjuangan kebangsaan dan menghapuskan peranan kolonial. Kejayaan Jepun mengalahkan China dan Rusia telah memberi ilham betapa perlunya pendidikan dan pengetahuan. Revolusi Kebudayaan China pada 1911 juga memberikan ilham juga memberi kesedaran baru terhadap nasionalisme di  Asia Tenggara. Antara tahun 1948 hingga 1955 Barat telah datang semula tetapi ia telah mempunyai perancangan pembangunan politik dan mewujudkan ‘Malayan Union’[12].       Pendudukan jepun telah mempengaruhi perkembangan nasionalisme di kampuchea atau Kemboja misalnya mendapat kemerdekaan yang singkat. Kesannya pemimpin nasionalis yang berumur 25 tahun seperti Saloth Sar (pol Pot) berpeluang mendengar ucapan anti- perancis atu pro-jepun., memasuki tentera, libat dalam politik seperti Lon Nol ( pemimpin lebih tua). Zaman ini buka mata mereka kepada dunia luar dan peristiwa yang berlaku di sekeliling mereka.

PERTUBUHAN
Merujuk kepada petubuhan-pertubuhan yang wujud implikasi kepada pendudukan Jepun di Asia Tenggara terdiri daripada dua bentuk. Bentuk yang pertamanya adalah pertubuhan yang terbentuk semasa era pendudukan Jepun serta direstui olehnya bagi menentang penjajah barat seperti PUTERA dan PETA. Manakala bentuk yang kedua adalah pertbuhan yang terbentuk bagi menentang pendudukan Jepun di negara mereka seperti di Vienam. Pertubuhan-pertubuhan yang wujud semasa pendudukan Jepun telah beri sumbangan terhadap perkembangan nasionalisme Indonesia adalah Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) yang ditubuhkan pada 9 Mac 1943. PUTERA dipimpin oleh Sukarno sebagai Presiden dan Hatta sebagai Timbalan Presiden. Jepun menubuhkan PUTERA dengan tujuan untuk mengawal nasionalis supaya tidak menjalankan kegiatan anti-Jepun. Walau bagaiamanapun, penubuhannya telah mewujudkan perpaduan di kalangan nasionalis dalam memperjuangkan kemerdekaan Indonesia. G.M. Kakin dalam bukunya “Nationalism and Revolution In Indonesia” mendakwa penubuhan PUTERA telah menambahkan kesedaran politik dan mengukuhkan keazaman rakyat Indonesia untuk capai kemerdekaan.
            Manakala pertubuhan kedua di Indonesia dalam bentuk pertama tadi adalah Tentera Sukarela Pembela Tanahair (PETA) yang ditubuhkan pada September 1943.[13] Jepun menubuhkan PETA dengan tujuan menggunakan anggota PETA bagi menentang kemaraan tentera Berikat kerana Jepun menyedari kekuatan tenteranya tidak mencukupi untuk mempertahankan Indonesia. Menjelang Jun 1945, terdapat 120 ribu anggota PETA. Mereka telah menjadi tulang belakang Tentera Revolusi Indonesia yang menentang pemerintahan semula selepas kekalahan Jepun pada 15 Ogos 1945. Anggota-anggota PETA telah ditanam semangat anti penjajahan khususnya anti-Belanda dan Jepun akibat propaganda nasionalis-nasionalis. Pertubuhan yang ketiga di Indonesia yang mendapat dokongan pihak Jepun adalah Majlis Seluruh Muslimin Indonesia (Masjumi) yang ditubuhkan pada Oktober 1943. Masjumi merupakan gabungan badan-badan Islam seperti Muhammadiah, Nahdatul Ulama dan Parti Sarekat Islam. Jepun menubuhkan Masjumi dengan tujuan untuk dapat sokongan orang-orang Islam serta menyebarkan semangat anti-Belanda di kalangan rakyat Indonesia melalui agama. Di bawah Masjumi, Jepun berjanji akan bantu orang-orang Islam menunaikan fardu haji, mencetak al-Quran, mendirikan universiti Islam dan sebagainya. Penubuhan Masjumi mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat Indonesia lebih-lebih lagi majoriti rakyat Indonesia terdiri daripada orang Islam.
            Bagi Vietnam pula, pendudukan Jepun di negara mereka turut mencetuskan semangat nasionalisme yang kuat, tetapi berbeza dengan apa yang berlaku di Indonesia. Pertubuhan yang wujud di Vietnam adalah berupa pertubuhan yang menentang dan ingin menghalau Jepun daripada tanahair mereka. Viet Minh ialah singkatan daripada Vietnam Doc Lap Dong Minh Hoi (Liga Kemerdekaan Vietnam), ditubuhkan oleh pelarian-pelarian Vietnam di bawah pimpinan Ho Chi Minh pada Mei 1941[14] untuk menentang pemerintahan Jepun dan Perancis serta menubuhkan sebuah republik di Vietnam. Ho Chi Minh enggan mengakui pengisytiharaan kemerdekaan oleh Maharaja Bao Dai.
            Jepun memberikan tentangan yang sedikit sahaja. Menjelang bulan Ogos 1945, Jepun menyerah kalah. Pada 25 Ogos 1945, Bao Dai turun takhta dan menyerahkan kuasa kerajaan kepada Viet Minh. Viet Minh menawan Hanoi dan mengambil alih Vietnam Utara. Pada 2 September 1945, Vietnam diisytiharkan sebagai sebuah negara yang merdeka. Ho Chi Minh menjadi presidennya yang pertama. Apabila Perancis kembali ke Indo-China, Viet Minh enggan menerima kedatangannya. Satu perjanjian ditandatangani di antara Perancis dengan Viet Minh pada Mac 1946 yang mengakui Republik Demokratik Vietnam sebagai sebuah negeri yang bebas dan menjadi sebahagian daripada kesatuan Indo-China. Tetapi masalah Cochin-China menyebabkan meletusnya perang saudara di antara Viet Minh dengan Perancis pada tahun 1946. Viet Minh ingin memasukkan Cochin-China di dalam republik tetapi Perancis menuntut Cochin-China sebagai tanah jajahan Perancis. Ho Chi Minh dan pasukan Viet Minh menjalankan peperangan gerila. Orang Vietnam memberi sokongan kuat kepada Viet Minh kerana ia berjuang untuk kemerdekaan negara. Dengan bantuan China Komunis, Viet Minh bertambah kuat dan berkuasa. Akhirnya, Viet Minh berjaya mengalahkan Perancis di Pertempuran Dien Bien Phu pada tahun 1954. Pada Julai 1954, wakil-wakil Perancis menemui wakil-wakil Viet Minh dalam Persidangan Geneva. Mereka telah menandatangani satu perjanjian. Menurutnya, Perancis bersetuju mengakui kemerdekaan Vietnam (serta Kemboja dan Laos). Vietnam ditambah kepada 2 bahagian. Republik Demokratik Vietnam (Vietnam Utara) menjadi sebuah negara Komunis dibawah pemerintahan Ho Chi Minh. Vietnam Selatan diletakkan di bawah Maharaja Bao Dai. Pada tahun 1955, Ngo Dinh Diem menggulingkan Bao Dai dan menjadikan Vietnam Selatan sebagai republik. Ngo Dinh menjadi presiden pertamanya.

PENDIDIKAN

Melalui pendidikan, Jepun telah menerapkan nilai-nilai dan menyemarakkan perasaan nasionalisme kalangan penduduk di kawasan jajahannya. Sebelum itu, nasionalisme melalui pendidikan telah disemarakan oleh golongan reformis-reformis berlatar belakangkan pelbagai aliran pendidikan[15].Golongan yang berpendidikan menggunakan saluran yang lebih baik dengan menyebarkan pemikiran mereka dengan menggunakan akhbar ataupun dengan menggunakan majalah-majalah seperti Majalah al-Imam, Utusan Melayu, La Solidaridad dan sebagainya. Pendudukan Jepun di Asia Tenggara antara 1942-1945 memberi kesan sebagai pemangkin dengan mempercepatkan perjuangan kebangsaan dan menghapuskan peranan kolonial.
            Di Malaya, Jepun telah menjalankan dasar meniponisasikan(menjepunkan) penduduk Malaya. Melalui dasar ini, nilai-nilai Jepun seperti cara hidup, belajar bahasa Jepun dan taat setia kepada Maharaja Jepun. Manakala di sekolah-sekolah, bahasa Jepun digunakan sebagai bahasa penghantar[16]. Sekolah Inggeris dan Sekolah Cina juga ditutup dan diharamkan. Namun, disebalik dasar ini membawa anjakan paradigma pemikiran dan meluaskan ilmu pengetahuan kalangan masyarakat Malaya. Masyarakat Malaya mula sedar akan kepentingan ilmu pengetahuan dan mula memantapkan ilmu pengetahuan moden untuk digunakan apabila mentadbir negara sendiri pada masa akan datang.
            Manakala di Kemboja, setelah kemasukan Jepun yang menampakkan ‘kestabilan’, kerajaan Khmer telah menggantikan bahasa penghantar di sekolah dari bahasa Perancis kepada bahasa kemboja dan menggunakan kelander Buddha[17]. Hal ini secara tidak langsung menggambarkan peranan Jepun dalam menaikkan semangat nasionalisme melalui perubahan penggunaan bahasa penghantar di sekolah di Kemboja.
            Selain daripada pendidikan berbentuk ilmu pengetahuan, Jepun juga memberikan pendidikan bidang lain yang memberi banyak manfaat kepada masyarakat Asia Tenggara. Antaranya adalah latihan Militari yang dapat memperkukuhkan kebolehan fizikal. Sekolah-sekolah tentera banyak diwujudkan untuk melatih pemuda-pemuda untuk mempertahankan negara-negara masing[18]. Misalnya penubuhan Giyugun, Boetai, Junsa, PETA dan Kempetai oleh Jepun dapat memberi ilmu ketenteraan dan menanam semangat kesetiaan kepada negara dan pemerintah.
            Malahan latihan kepimpinan untuk menjawat jawatan awam dalam pentadbiran turut diberikan. Secara tidak langsung belajar ke arah pemerintahan sendiri. Golongan seperti Guru, wartawan, penulis, pegawai kerajaan mendapat bimbingan daripada Jepun[19]. Hal ini telah memberi banyak manfaat kepada golongan nasionalis yang aktif menyemarakkan semangat nasionalisme di kalangan penduduk. Kesan daripada antikolnialisme juga telah mewujudkan pendidikan vernakular di negara-negara di Asia Tenggara.


JANJI-JANJI JEPUN
Kehadiran kuasa imperialis Barat tidak disenangi oleh penduduk tempatan menyebabkan wujudnya sentimen ‘anti-asing’ dan ‘anti-barat’ semakin berleluasa sehingga membawa kepada kemunculan semangat nasionalisme di kalangan rakyat Asia Tenggara. Ditambah lagi, strategi ‘menjadi’ Jepun di awal kemasukan ke Asia Tenggara iaitu menghantar perisik. Propaganda dilancarkan oleh Jepun yang turut disokong dengan janji-janji telah menyemarakkan lagi semangat nasionalisme masyarakat Asia Tenggara.
Pertama, janji Jepun membebaskan masyarakat Asia Tenggara dari belenggu penjajahan barat. Jepun menggunakan propaganda ‘Asia Untuk Orang Asia’ telah banyak mempengaruhi gerakan nasionalisme di Asia Tenggara. Kesannya, ramai nasionalisme bekerjasama dengan Jepun kerana terpengaruh dengan propaganda tersebut sehingga menubuhkan pelbagai gerakan menyokong kemaraan Jepun sepertimana di Kemboja[20], Malaya, Indonesia dan sebagainya Malahan kemunculan gerakan yang menyokong Jepun kerana terpengaruh dengan janji mengusir penjajah seperti Sarekat Islam dan Parti Nasionalisme Indonesia(PNI)[21] di Indonesia  dan Pembela Tanah Air(PETA) dan Kesatuan Rakyat Istimewa(KRIS) di Malaya. Kebanyakan pertubuhan ini menyokong Jepun, dan menentang hebat apabila kolonial asal kembali memerintah.
            Selain janji membebaskan dari cengkaman kolonial Barat, Jepun juga menjanjikan peluang kemerdekaan kepada masyarakat Asia Tenggara. Janji ini telah menyemarakkan lagi semangat nasionalisme menentang penjajah. Di Vitenam, demi mendapatkan kemerdekaan, golongan reformis Vietnam telah menubuhkan kumpulan pro-Jepun seperti Dai Viet Cch Mang Dang (Parti Revolusi Vietnam), Dai Viet Quoc Dan (Parti Kebangsaan Vietnam), Quac Xa (Parti  Nasional-Sosialis) dan lain-lain. Kesedaran untuk mengusir kolonial Perancis terus membara dengan adanya tertubuhnya kumpulan tersebut. Apatah lagi kemerdekaan yang dijanjikan oleh pihak Jepun menyemarakkan lagi golongan pemerintah Vietnam menentang penjajah.
            Di Myanmar, terdapat golongan yang bekerjasama dengan Jepun untuk mendapatkan kemerdekaan dari negara matahari tersebut[22]. Namun hubungan dengan Jepun mula merosot setelah Jepun kurang peka dengan dasar Lingkungan Sekemakmuran dan sikap eksploitasi Jepun terhadap sumber-sumber semula jadi Myanmar. Kesedaran dibawah penjajah, telah menyemarak semangat nasionalisme menentang rejim kolonial. Maka, golongan Thakin Komunis dan Burma Nasional Army(BNA) telah bekerjasama menentang Jepun melalui sebuah badan yang dikenali  Anti-Facist People’s Freedom League(AFPFL). Oleh yang demikian, jelas nasionalisme yang muncul telah menyedarkan masyarakat Myanmar menentang penjajahan.

PENDERITAAN RAKYAT
Kesengsaraan, keperitan dan penyeksaan demi penyeksaan telah mencetuskan rasa tidak puas hati dan akhirnya menyemarakkan lagi semangat menentang penjajah. Di era Jepun, masyarakat Asia Tenggara diseksa dan dizalimi oleh tentera Jepun[23]. Ramai yang mengalami gangguan psikologi.  Di Malaya, kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan seperti beras kerana harga yang mahal[24] dan kesukaran memperolehinya menyebabkan penduduk menjadikan ubi kayu dan keledek sebagai sumber makanan mereka. Kesengsaraan hidup ini menjadikan perasaan benci terhadap penjajah bertambah-tambah.
Manakala di Indonesia pula rakyat mengalami penderitaan apabila Jepun menjalankan pengambilan buruh paksa. Buruh diperlukan untuk pembinaan jalan kereta api maut “death railway” (menyambungkan Selatan Burma dengan Bangkok melalui Kauburi) membangunkan prasarana perang seperti kubu-kubu, jalanraya, lapangan terbang, bekerja di kilang-kilang dan pelabuhan-pelabuhan demi kepentingan Jepun[25]. Hal ini membangkitkan semangat anti-penjajah di kalangan penduduk di Indonesia setelah dizalimi oleh Jepun.
Selain rakyat negara ini, turut menjadi mangsa buruh paksa Jepun ialah rakyat Filipina, Singapura, Thailand, Mynmar, Vietnam, Laos dan Indonesia. Di Myanmar, paling banyak menjadi buruh paksa iaitu 90,000, namun yang meninggal dunia ialah 40,000 berbanding rakyat Malaya iaitu 42,000 orang. Penderitaan mereka digambarkan Zainal Abidin Abdul Wahid[26] seperti:
‘Buruh paksa tidak dibayar gaji. Makan minum mereka amat menyedihkan dan ada yang didera jika Jepun tidak puas dengan kerja mereka. Banyak buruh menderita dizalimi askar Jepun termasuk perut dipijak dan dipaksa minum air sabun’.          

Manakala di Indonesia, penduduk di negara tersebut juga tidak terlepas daripada penyeksaan tentera Jepun. Terdapat daripada mereka mengalami seksaan, penganiayaan, penahanan sembarangan dan hukuman mati, serta kejahatan-kejahatan perang yang lain yang dilakukan oleh tentera Jepun. Di Filipina, rakyat mengalami pelbagai kesukaran. Hal ini demikian kerana Filipina mempunyai hubungan dengan Amerika Syarikat iaitu musuh Jepun pada ketika itu. Di Malaya, mereka yang disyaki menentang Jepun akan dibunuh. Pelbagai masalah seperti ekonomi merosot, ramai yang mati kebuluran, hasil pertanian dirampas, bilangan pengangguran semakin meningkat, ubat-ubatan tidak cukup menyebabkan ramai yang mati kerana penyakit[27]. Akibat kezaliman Jepun itu, semangat cinta tanah air telah dipupuk dan seterusnya mewujudkan semangat menetang penjajah.
KESIMPULAN
Sememangnya Perang Dunia Kedua telah memberikan impak yang besar kepada penduduk tempatan di Asia Tenggara yang selama ini telah dijajah dalam perbagai cara dan memakan tempoh masa yang benar-benar panjang. Namun, Perang Dunia Kedua telah menzahirkan ‘mutiara di tepian pantai’ apabila Jepun telah berjaya mengalahkan kuasa-kuasa besar barat sekaligus menghapuskan ‘mitos superioriti’ barat. Ekoran daripada itu Asia Tenggara turut menerima kesannya daripada pelbagai penjuru. Walau bagaimanapun, keasan akhirnya dengan pendudukan Jepun, Asia Tenggara telah dibangkitkan semagat nasionalisme mereka untuk menentang penjajah.





BIBLIOGRAFI
Buku
Abdullah bin Ayub (1961). Cara Pemerintahan Tanah Melayu (1957-1963). Kuala            Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Abu Talib Ahmad (1991). Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Abu Talib Ahmad (2000). Sejarah Myanmar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ahmad Ali b. Seman (1997). Serangan Jepun ke atas Tanah Melayu 1941-1945. Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Alice Ludvig (2005). Nation. Dalam MacKenzie, I. Political concepts: a reader and guide. Edinburgh: Edinburgh University Press.
Alter, P. (1994). Nationalisme. London, New York, Melbourne & Auckland: Edward Arnold.
Andaya, B.W. & Andaya, L.Y., (1983). Sejarah Malaysia. Petaling Jaya: MacMillan Publishers (M) Sdn. Bhd.
Devillers, P. (1988). Sejarah Indo-China moden: perkembangan sosiopolitik hingga abad ke-20. Ruhanas Harun (Terjemahan). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hall, D.G.E., (1981). Sejarah Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Gellner, E. (1982). Nation and Nationalism. Itchaca & London: Cornell University Press.
Ricklefs, M.C., (2005). Sejarah Indonesia Modern 1200-2004. Satrio Wahono (Terjemah). Jakarta: PT Serambi Ilmu Semesta.
Sargent, L.T., (2006). Contemporary political ideologies: a comparative anylysis. USA: Thompson Higher Education.
Syed Ahmad Hussein (1996). Pengantar Sains Politik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia & Pusat Pendidikan Jarak Jauh.
Vinacke, H.M., (1967). Sejarah timor Jauh Dalam Zaman Moden. Kuala    Lumpur:          Dewan Bahasa dan Pustaka.

Yoshihisa Tak Matsusaka (2001). The Making Of Japanese Manchuria 1904-1932.            London: Harvard University Press.

Zainal Abidin Bin Abdul Wahid (1972). Pendudukan Jepun dan Semangat Kebangsaan, (Sejarah Malaysia Sa-Pintas Lalu). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Zainal Abidin Abdul Wahid (1996). Malaysia warisan dan perkembangan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.







[1]               Fakta ini diutarakan oleh Boyd C. Shafer dalam Peter Alter (1994). Nationalism. London, New York, Melbourne & Aukland: Edward Arnold, hal. 3.
[2]               R. Suntharalingam (1985). Konsep nasionalisme: kearah satu takrif. Dalam R. Suntharalingam dan Abdul Rahman Haji Ismail (Penyunting). Nasionalisme: satu tinjauan sejarah. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti, hal. 1-17.
[3]               Abu Talib Ahmad (2000). Sejarah Myanmar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hal. 280.
[4]               Alice Ludwig (2005). Nation. Dalam  Ian MacKenzie (Ed.). Political concepts a reader and guide. Edinburgh: Edinburgh University Press, hal. 459.
[5]               Syed Ahmad Hussein (1996). Pengantar sains politik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia & Pusat Pedidikan Jarak Jauh, hal. 187.
[6]               Ernest, Gellner (1982). Nations and nationalism. Itchaca & London: Cornell University Press, hal. 1. Lyman Tower Sargeant (2006). Contemporary political ideologies: a comparative anylysis. USA: Thompson Higher Education, hal. 25, menerangkan dengan terperinci perihal ciri-ciri pengamal ideologi nationalisme.
[7]               http://members.tripod.com/~PKSPMI/sejarah20a.html
[8]               Sila rujuk atikel yang dipetik melalui laman web http://www.ampangtac.net/download/notaptk/SEJARAH%20MALAYSIA/KESAN-~1.HTM
[9]               Harold M. Vinacke. (1967). Sejarah timor Jauh dalam zaman moden. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka,. hal., 24-25.
[10]             Sila rujuk artikel yang dipetik melalui http://www.geocities.com/cominglucky/kesanjepunindo.htm.

[11]             http://www.geocities.com/cominglucky/politik.htm
[12]             Rancangan MU atau Kesatuan Tanah Melayu dibincangkan secara serius pada peringkat kabinet olek kerajaan Parti Buruh pada bulan Julai 1945. Rancangan kerajaan diumumkan pada bulan Oktober 1945 dan isi kandungannya dikeluarkan pada 1 Januari 1946. Butir-butir perlembagaan dikeluarkan dalam warta kerajaan (gazette)  ”Kertas Putih 6724” bertarikh 22 Januari 1946. menurut perlembagaan MU, Negeri-negeri Melayu, Pulau Pinang dan Melaka akan disatukan di bawah satu pentadbiran. Penubuhan MU berjalan dengan lancar, kerajaan British telah mengutuskan Harold MacMicheal ke Malaya bagi mendapatkan persetujuan sultan-sultan Melayu untuk menyerahkan kedaulatan NNM kepada kerajaan British. MacMicheal tiba di Port Swettenham (Pelabuhan Klang) pada 11 Oktober 1945. Antara 20 Oktober hingga  21 Oktober 1945, beliau telah berjaya memperoleh persetujuan daripada semua sultan untuk menyerahkan kedaulatan NNM kepada Great Britain dan juga menerima MU sebagai dasar baharu British untuk Malaya. Malaya (Lihat Tan Sri Dato’ Abdullah bin Ayub (1961). Cara Pemerintahan Tanah Melayu (1957-1963). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm.27).

[13]             PETA juga merupakan pertubuhan yang ditubuhkan merentas negarakerana menjadi badan bertindak kepada Jepun di Indonesia dan Tanah Melayu (Malaysia). Rujuk Barbara Watson Andaya & Leonard Y. Andaya (1983). Sejarah Malaysia. Petaling Jaya: MacMillan Publishers (M) Sdn. Bhd., hal. 291.
[14]             D.G.E. Hall (1981). Sejarah Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hal. 1003.
[15]             Golongan ini adalah mereka yang mendapat pendidikan Barat ataupun memiliki pendidikan Arab. Mereka telah memahami budaya, ilmu pengetahuan dan nilai hidup Barat  dan telah melihat perkembangan dunia luar. Mereka telah menghayati idea baru seperti Liberalisme, Sosialisme, komunisme dan Demokrasi. Abu Talib Ahmad (1991). Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka., hal. 77.
[16]             Untuk menggalakkan lagi penggunaan bahasa Jepun secara berkesan, pihak Jepun telah mengadakan kursus bahasa dan Minggu bahasa Jepun.Ibid., hal. 79.
[17]             Philippe Devillers (1988). Sejarah Indo-China moden: perkembangan Sosiopolitik hingga abad ke-20. Ruhanas Harun( Terjemah). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka., hal. 53.
[18]             Sekolah-sekolah banyak diwujudkan di Indonesia, Myanmar dan Malaya. Ibid., hal.  55.
[19]             Zainal Abidin Abdul Wahid (1996). Malaysia warisan dan perkembangan. Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, hal. 276.
[20]             Di Kemboja, kerajaan  Khmer dan elit Khmer telah menyokong Jepun dengan memudahkan kemaraan Jepun untuk menakluk negara sekitar dan mengusir Perancis. Satu pertubuhan yang dipanggil ‘Yuvan’ yang mempunyai tujuan untuk bekerjasama dengan tentera Jepun bagi mengembalikan semula kerajaan Khmer dari kolonial Perancis. Ibid., hal. 54
[21]             PNI di bawah pimpinan Sukarno telah memberi sokongan penuh terhadap Jepun melalui bantuan sukarelawan Indonesia (Romusha) dan golongan militia Jawa(Heisho).pada tahun 1945, terdapat 2 juta sukeralawan di Indonesia untuk menyokong Jepun. Philippe Devillers op. cit.,  hal. 60.
[22]             Golongan yang bekerjasama adalah Thakin yang menubuhkan pasukan tentera kemerdekaan Myanmar (Burma Independen Army) dan kemudianya ditukar nama menjadi Pasukan Tentera Kebangsaan Myanmar(Burma Nasional Army). Ibid., hal. 57.
[23]             Di antara tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India di Malaya, orang cina adalah yang menerima paling kejam dari pemerintahan Jepun. Hal ini berikutan permusuhan dalam Perang China-Jepun sehingga melarat ke Malaya. Andaya dan Andaya, op. cit., hal. 288-289.
[24]             Kekurangan bekalan barangan telah menyebabkan harganya telah meningkat. Antaranya harga beras Siam di Kuala Lumpur pada tahun 1941 ialah 6 sen sekati. Manakala pada tahun 1943 harga beras dalam pasaran gelap telah meningkat menjadi $3.00 sekati. Seterusnya ia telah meningkat menjadi $10.00 sekati pada akhir tahun 1944. Ahmad Ali b. Seman (1997). Serangan Jepun ke atas Tanah Melayu 1941-1945. Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia., hal. 3.
[25]             M.C. Ricklefs ( Terj. Satrio Wahono). 2005. Sejarah Indonesia modern 1200-2004. Jakarta: PT Serambi Ilmu Semesta., hal. 408.
[26]          Zainal Abidin Abdul Wahid., op. cit., hal. 270.
[27]             Ibid., hal. 279.

2 comments:

  1. Jepun merupakan kuasa politik imperialis Asia yang ulung mula bangkit semasa Meiji selepasnya jatuhnya Keshogunan Tokugawa

    ReplyDelete
  2. hello danial.. saya ingin bertanya soalan menganai sejarah.. saya berminat dengan penulisan anda.. boleh bg email anda? saya ingin bertanya beberapa soalan mengenai sejarah..

    ReplyDelete